TNB Tawar Diskaun Bil Elektrik Selama 6 Bulan. 2% Untuk Rakyat & 15% Untuk Perniagaan

Bagi membantu meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar berikutan kesan penularan wabak Covid-19, Kerajaan telah mencadangkan pemberian diskaun bil elektrik kepada semua pengguna elektrik bagi tempoh 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

Berikut adalah perkongsian kadar diskaun yang diberikan kepada semua pengguna elektrik.

DISKAUN BIL ELEKTRIK KEPADA PENGGUNA

Diskaun 15% Kepada Enam Sektor Perniagaan

Menurut Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun 15 peratus (15%) bagi penggunaan elektrik kepada enam sektor perniagaan terpilih iaitu hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema, dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

“Diskaun 15 peratus ini melibatkan kira-kira 10,000 pemilik akaun daripada enam sektor perniagaan terpilih yang mengguna pakai Tarif Perdagangan sahaja. Pemberian diskaun bagi tempoh ini juga akan memberi impak pengurangan bil elektrik RM40 juta bagi Semenanjung, RM20 juta bagi Sabah dan RM8.5 juta bagi Sarawak,” katanya.

Diskaun 2% Kepada Pengguna Komersial, Industri & Pertanian

Beliau berkata, manfaat itu juga akan dinikmati pengguna komersial, industri dan pertanian dengan memperoleh dua peratus (2%) diskaun dalam tempoh yang sama.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan penjimatan bil elektrik, dianggarkan berjumlah RM370 juta bagi tempoh enam bulan.

“Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada sekitar 99,322 pemilik akaun yang melibatkan anggaran kos RM11.5 juta manakala bagi Sarawak, ia melibatkan anggaran kos RM107.2 juta untuk 100,000 pemilik akaun,” katanya.

Beliau berkata, semua pengguna domestik dalam kategori domestik atau rumah kediaman turut menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemberian dua peratus bagi tempoh yang sama.

“Ini bermakna rakyat akan menikmati diskaun dua peratus dalam tempoh tersebut, sebagai tambahan kepada enam peratus yang telah pun dinikmati oleh pengguna domestik pada masa ini. Ia dijangka memberi anggaran penjimatan dalam bil elektrik sebanyak RM92 juta, kepada kira-kira 7.5 juta pemegang akaun TNB.

“Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada 520,378 pengguna domestik dengan kos dianggar sekitar RM5.7 juta manakala bagi Sarawak, ia akan memberi manfaat kepada 585,637 pengguna domestik dengan kos dianggarkan sekitar RM6.8 juta,” katanya.

Menurut Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, kos pemberian diskaun bil elektrik itu akan ditampung kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak pula ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

Diskaun Bil Elektrik Kepada Rakyat Bagi Penggunaan Elektrik Bulan April Hingga Septermber

Diskaun Bil Elektrik Kepada Rakyat Bagi Penggunaan Elektrik Bulan April Hingga Septermber Diskaun Bil Elektrik Kepada Rakyat Bagi Penggunaan Elektrik Bulan April Hingga Septermber

Sumber