Kedai Hardware, Alat Ganti, Bengkel Kereta Boleh Beroperasi setiap Isnin & Khamis. Dibenarkan 2 Kali Seminggu

Kebenaran yang diberi kepada beberapa jenis premis perniagaan seperti kedai perkakasan yang menjual baja dan alat pertukangan dua hari seminggu akan membolehkan masyarakat memanfaatkan aktiviti produktif bersama keluarga di rumah.

Bagi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohamad Zain A Hamid, kebenaran sedemikian akan menggalakkan orang awam di daerah itu mematuhi arahan dengan berada di rumah sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

“Selaras dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), beberapa perkhidmatan dan perniagaan dibenarkan beroperasi dua kali seminggu sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini adalah kelonggaran bagi orang awam mendapatkan apa juga keperluan di kedai berkenaan supaya dapat menjalankan aktiviti di rumah.

“Perkhidmatan atau perniagaan yang dibenarkan ialah Kedai Baja / Racun, Kedai Perkakasan (hardware), Kedai Menjual Makanan Haiwan dan Kedai Menjual Alat Ganti Kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Zain A Hamid berkata, semua perkhidmatan dan perniagaan yang dibenarkan beroperasi itu akan bermula esok.

“Hari yang dibenarkan operasi ialah pada hari Isnin dan Khamis iaitu 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Orang awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan semasa dan mengambil langkah-langkah keselamatan dan kesihatan semasa pengoperasian seperti memakai penutup mulut dan hidung, menyediakan pencuci tangan dan langkah penjarakan sosial,” katanya.

Buat masa sekarang hanya negeri Selangor dan Perak membenarkan kedai hardware, alat ganti dan bengkel kereta beroperasi dalam tempoh PKP ini.