DIY Sabun: Tips Gandakan Sabun Cuci Pinggan, Tahan Sampai 5 Bulan Modal Bawah RM10

Pernah tak anda terfikir untuk menjimatkan penggunaan sabun basuh pinggan di rumah? Pasti masih ramai yang tidak tahu bahawa kita boleh gandakan sabun basuh pinggan kita yang ada dengan kaedah yang sangat mudah.

Aktiviti membasuh pinggan adalah rutin harian yang pasti dilakukan oleh setiap orang di rumah paling kurang pun 5 kali sehari. Lebih-lebih lagi jika selalu memasak atau jika berniaga memang banyak pinggan mangkuk yang kena basuh. Sekejap sahaja sabun basuh pinggan habis! Harganya pula tidaklah murah sangat kalau asyik kena beli baru sahaja.

Sudah ada caranya, apa salahnya kalau kita ikuti tips menggandakan sabun basuh pinggan ini. Sangat menjimatkan perbelanjaan rumah!

TIPS JIMAT SABUN BASUH PINGGAN

Tips yang akan dikongsikan ini sangat berguna kepada semua orang dan yang paling penting kualiti sabun yang dihasilkan sangat memuaskan hati. 800 ml sabun, kita boleh gandakan sehingga 5 liter sabun.

Katakan 1 liter sabun tahan guna sebulan, 5 liter pasti tahan 5 bulan. Perbelanjaan rumah selepas ini pasti akan berubah dengan penjimatan sabun yang dilakukan.

Apa yang paling menyeronokkan, walaupun kuantitinya digandakan buih yang dihasilkan tetap banyak apabila digunakan. Ikuti perkongsian di bawah untuk caranya.

CAMPUR 2 BAHAN INI SAHAJA

Anda hanya perlukan bahan-bahan ini iaitu:

  • 5 liter air
  • 800ml sabun (jenama apa pun)
  • Garam paket kecil (anggaran secawan)

Kaedahnya adalah:

  1. Campurkan semua bahan di atas dan gaul dalam baldi atau bekas besar yang sesuai.
  2. Masukkan bahan yang dicampur tadi dalam bekas yang sesuai untuk penyimpanan sabun.

Siap! Sabun sedia untuk digunakan. Guna sahaja seperti biasa kerana kesannya tetap sama seperti sabun asal walaupun agak cair dari kepekatan asal. Apa yang penting sekali adalah sabun tetap banyak buih dan barang basuhan juga bersih tanpa minyak. Selamat mencuba!

Sumber: Facebook شهيد شهداء