Cara Mohon Telefon Pintar Percuma Yayasan YTL Golongan B40 Untuk Study Dari Rumah

YAYASAN YTL pada 7 April lepas telah mengumumkan bahawa mereka akan memberikan telefon pintar secara percuma di bawah Inisiatif Belajar dari Rumah atau Learn from Home Initiative anjurannya. Ini adalah tambahan kepada kad SIM YES 4G dilengkapi dengan data sebanyak 40GB selain sumber pembelajaran yang turut diberikan kepada para pelajar sekolah kerajaan secara percuma.

Yayasan YTL dengan kerjasama YTL Communications menawarkan telefon pintar percuma kepada para pelajar sekolah kerajaan dari keluarga B40 yang tidak memiliki telefon pintar atau peranti mudah alih bagi sesi pembelajaran di rumah.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat mengenai cara membuat permohonan bagi telefon pintar tersebut.

KERJASAMA GURU DIPERLUKAN

Bagi memastikan telefon pintar tersebut dapat diberikan kepada keluarga yang memerlukan, Yayasan YTL memohon kerjasama para guru sekolah kerajaan untuk tampil membantu memberikan nama para pelajar yang layak, kerana guru-guru merupakan barisan terbaik bagi mengenal pasti keluarga ini.

Buat para guru sebagai pejuang barisan hadapan, mewakili pelajar yang memerlukan, ikuti cara membuat permohonan di perkongsian bawah.

CARA MEMOHON TELEFON PINTAR

Para guru yang mewakili pelajar perlu mengisi borang pencalonan di bawah. Sila bersedia dengan maklumat berikut sebelum mendaftar:

  1. Nombor kad pengenalan anda
  2. Nama & nombor kad pengenalan pelajar
  3. Nama & nombor kad pengenalan ibubapa

Isi borang pencalonan di pautan berikut lengkap bersama maklumat murid dan ibu bapa.

Layari: https://ytlfoundation.org/belajardarirumah/

Hanya guru yang boleh mencalonkan para pelajar yang berhak untuk menerima telefon pintar percuma dengan data.

KRITERIA PERMOHONAN

Bagi membuat permohonan, guru mestilah pastikan kriteria berikut dipenuhi:

  1. Guru yang mencalonkan pelajar masih berkhidmat di sekolah rendah atau menengah kerajaan.
  2. Pelajar yang dicalonkan adalah merupakan pelajar sekolah di mana guru tersebut berkhidmat
  3. Pelajar yang dicalonkan adalah daripada golongan keluarga B40

Bagi pencalonan yang berjaya, guru dan ibubapa pelajar berkenaan akan menerima notifikasi menerusi emel dan SMS.

PROSES PENDAFTARAN

Sekiranya pencalonan tersebut berjaya, Ibubapa pelajar akan dimaklumkan. Kemudian ibubapa dikehendaki untuk mengemukakan pendaftaran bagiĀ  mendapatkan telefon pintar percuma dengan data 120GB (10GB/sebulan selama 12 bulan) .

  1. Ibubapa dikehendaki mengikuti proses pendaftaran serta mengemukakan maklumat terperinci, termasuk memuat naik:
    1. Satu salinan MyKad/MyKid pelajar
    2. Satu salinan MyKad ibubapa
    3. Surat Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai bukti status B40 atau dokumen sah yang boleh membuktikan status B40
  2. Maklumat di atas diperlukan untuk mengesahkan kelayakan penerima dan tiada sebarang unsur penipuan.

Sebaik sahaja maklumat yang diberikan oleh Ibubapa semasa proses pendaftaran dapat disahkan, ibubapa akan menerima notifikasi menerusi e-mel berkenaan penghantaran telefon. Pastikan maklumat yang diisi adalah betul dan lengkap agar proses pendaftaran berjalan lancar.

Untuk maklumat lanjut, layari pautan berikut: