Take a fresh look at your lifestyle.

Bagaimana Korea Selatan Kawal Penularan Virus COVID-19, Apa Kita Boleh Belajar Dari Mereka

74

Selepas keadaan penularan wabak Covid-19 di China mulai reda, kini penularan di Itali dan Eropah semakin meningkat. Itali melaporkan 427 kematian akibat Covid-19 pada Khamis lalu menjadikan jumlah korban di negara berkenaan meningkat kepada 3,405 orang dan sehingga kini kematian telah mencapai 6,077 orang.

Angka tersebut telah melebihi jumlah kematian di China yang setakat ini mencatatkan 3,277 mangsa iaitu kurang 3,200 dari Italy.

PENULARAN WABAK DI KOREA SELATAN

Korea Selatan antara negara terawal yang dilanda wabak Covid-19 selepas China. Penularan virus bermula di Korea Selatan pada hujung Januari dan kemuncaknya pada 29 Februari dengan catatan 909 kes pada hari tersebut.

Namun, setakat ini jumlah kes Covid-19 di Korea Selatan berjumlah 9,037 orang dan 120 kematian sahaja. Lebih rendah berbanding Itali, Sepanyol, Perancis dan German. Apakah rahsia Korea Selatan?

CARA KOREA SELATAN KAWAL PENULARAN VIRUS

Saringan Berskala Besar

Ketika penularan giat berlaku, Korea Selatan telah menjalankan program saringan pada skala yang besar di mana lebih 270,000 saringan telah dijalankan, bersamaan 5,200 saringan bagi setiap 1 juta penduduk.

Jika mahu dibandingkan dengan negara kita, Malaysia telah menjalankan 12,292 saringan, bersamaan 377 saringan bagi setiap 1 juta penduduk.

Di Korea Selatan, saringan secara pandu lalu dijalankan dengan menempatkan pegawai kesihatan untuk mengambil sampel daripada pemandu dan penumpang. Keputusan pula akan diberikan dalam masa beberapa jam sahaja. Dengan cara ini, risiko penyebaran virus di hospital dapat dikurangkan.

Penyebaran Maklumat Yang Berkesan

Semenjak Covid-19 tiba di Korea Selatan, kerajaan sentiasa menghebahkan maklumat-maklumat penting berkaitan Covid-19 untuk memberi peringatan awal kepada rakyat. Contohnya, kerajaan akan menghebahkan pergerakan pesakit, daerah mana pesakit tinggal. Sesiapa sahaja yang disahkan positif akan didedahkan pergerakan mereka sebelum disahkan positif.

Maklumat pesakit biasanya dihebahkan berserta dengan umur, jantina dan pergerakannya bagi setiap minit. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Korea Selatan sangat telus dengan rakyat.

Undang-undang di sana membenarkan badan kerajaan mendapatkan maklumat berkaitan telefon bimbit, kad kredit dan data lain berkaitan bagi mereka yang disahkan positif bagi berhubung dengan kenalan dekat pesakit

Pengajaran Daripada MERS

Korea Selatan merupakan negara kedua terteruk selepas Arab Saudi di mana 186 kes direkodkan dan 36 orang meninggal dunia. Ketika itu, 17,000 saringan telah dijalankan.

Pengalaman daripada MERS mengajar Korea Selatan bahawa alatan bagi ujian saringan memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal penularan wabak.

Selepas Covid-19 muncul di China, Korea Centers for Disease Control and Prevention (KCDC) mula mencipta alatan saringan serta berkerjasama dengan pembuat alatan diagnostik untuk mencipat alatan saringan komersial.

Walaupun 2 minggu kebelakangan ini kes baru sudah mula menunjukkan trend penurunan, belum lagi boleh disimpulkan bahawa penularan Covid-19 di sana telah mencapai kemuncaknya. Kerajaan masih lagi keadaan berjaga-jaga.

Tidak lupa juga pelbagai usaha yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan rakyatnya sentiasa selamat. Kita sebagai rakyat Malaysia, tolonglah jadi rakyat yang bertanggungjawab dan patuhi segala arahan daripada kerajaan demi kebaikan bersama di masa hadapan.